Tuesday, January 17, 2012

Malu tapi Bukan Mahu


Hari-hari, hari cuti bagi aku. Tak kira lahh hari minggu atau hari menganggur, aku masih cuti walaupun bekerjaya sementara ni. Kerja pun celup je, datang ke tidak gaji masih full. Santai. Rutin biasa norma kehidupan aku selagi bernafas. Bangun, makan, bawa kereta ke sana ke mari sambil memerhati ragam manusia yang subjektif. Menarik dan ada kalanya menimbulkan tanda tanya. Mungkin itu sebab utama Dia ciptakan manusia lain macam rupa dan lain intipatinya. Sepanjang aku bersemayan di rumah ada beberapa senario yang meninggalkan kesan pada diri aku.

Senario 1 :
      Pagi hari bekerja bagi yang bekerjaya dan hari menganggur seperti biasa bagi yang tidak digaji sesiapa. Aku melangkah ke kedai tujuh sebelas membeli naskhah berita seperti biasa. Tak mahu dikatakan ketinggalan mengikuti arus dunia ini. Sementara menanti giliran pembayaran, muncul wanita India dengan baju tradisionalnya memegang sesuatu berbentuk segi empat, biru dan normal saja isi kandungannya. Usai membayar, dia pinta si 'dia' dibalutkan. Sambil memandang aku, dia tersenyum. Aku senyum juga tanda faham. Aku tau dia malu. Walaupun lain warna kulit, agama dan bangsa kami tapi malu itu perkara biasa bagi semua. Tolak tepi perihal lain seperti gender, lelaki atau perempuan nyata punya malu mereka juga.

Senario 2 :
     Seperti biasa aku lalu lalang di sekitar Kelana Jaya. Sabtu lalu ke KL Sentral terjah karnival buku dari MPH. Berjaya sambar satu novel karya si Jodi. Dalam kenderaan transit ringan itu, aku nampak kelibat kaum hawaku dengan jubah dan tudung labuhnya. Agak ramai juga antara mereka ke destinasi sama sepertiku. Tunduk sahaja pandangannya walaupun aku di depannya. Apa yang dimalukan? Aku kurang pasti. Tapi aku tahu sebagai Islam, kita tidak boleh meninggikan pandangan lebih dari jalan yang kita lalui. Terasa rendah diri ini. Walaupun pernah melihat hawaku yang lain seperti ini tapi ini antara yang aku ingati. * Betulkan aku jika aku salah.

Senario 3 :
     Ramadhan yang lalu, iftar bersama rakan-rakan dengan seafood di Tanjung Dawai. Dengan bekalan mercun dan bunga api dari rumah yang aku bawa, kami berhasrat untuk menikmati permainan agak wajib di ambang raya itu di jeti berdekatan kampus. Kebetulan kebanyakan sahabat off, jadi peluang ini digunakan sebaik-baiknya. Ramai juga di sana. Tidak kurang juga beberapa pasangan bertenggekan di setiap penjuru. Gelap dan sunyi pasti suasana yang menarik untuk menikmati 'moreh' selepas seharian berpuasa. Aku pasti kehadiran kami mengganggu konsentrasi mereka untuk menjamu selera dek kerana keriuhan bunyi dentuman. Lantaklahh, banyak lagi tempat untuk mereka bersantap dan yang pasti hari lain masih ada untuk mereka. Mereka dengan hal mereka, kami dengan agenda kami.

Senarionya mungkin berbeza-beza tapi apa yang pasti, rentetan peristiwa yang aku nyatakan berjaya menimbulkan beberapa persoalan di benak fikiranku. Banyak peristiwa lain yang aku alami tapi terlampau banyak untuk aku tuliskan. Mungkin insan lain melihat ia sebagai normal bagi kehidupan masyarakat masa kini yang gah dengan arus teknologi dan pembangunan sana sini. Satu persoalan yang ingin aku tahu jawapannya, "Bila iman senipis kulit bawang, masihkan ada malu dalam diri kita?" Benar, malu itu separuh daripada iman tapi melihat senario dan realiti masyarakat kita aku jadi betah. Perkara yang sepatutnya kita malu, jadi sebaliknya. Nyata frasa manusia akhir zaman kian menampakkan segalanya. Lantaran itu, apa yang tinggal kini? Malu semakin nipis, maruah masih ada? Begitukahh? Aku pun kurang pasti apa jawapannya.