Pagi hujung minggu yang tenang seperti biasa bersama wajah kesayangan hamba yang tercinta tambah bahagia rasa diri ini. Syukur masih punya masa dan kesempatan untuk bersama walaupun dihambat dengan kesibukan sebagai pelajar. Susur kaki lima itu aku gagahi demi melunaskan tanggungjawab yang diberikan Ayah untuk melangsaikan bil wajib bulanan dan lain-lain hal berkaitan bank. Kelibat bank kuning berlogo harimau menanti kehadiranku. Mesin cash deposit perlu kuterjah sebelum ramai yang mengerumuni walaupun baru seawal 8 pagi tika itu. Namun apa yang menantiku di sana bukan sesuatu yang aku jangkakan...
Saat aku hampir tiba ke pintu yang tertera perkataan tarik/pull, sapaan salam "Assalamualaikum" menjamah telinga. Suara wanita. Kedu seketika. Siapa pula seawal pagi ini ramah menegur? Pantas aku pandang sekilas ke arah kanan, arah mana datangnya suara itu sambil mulut menjawab sapaan salam tersebut. Usai menjawab, aku tutur langkah ke agenda utama ke situ. Baris makin pendek dan giliran pun hampir tiba. Mata tidak lepas memerhati pasangan anak beranak di luar sana yang sebentar tadi menegur. Duduk mengharap ihsan mereka yang lalu lalang di situ. Siap segalanya, kaki melangkah keluar. Aku hanya mampu hulur not kecil walaupun tak dipinta. Balasannya bukan ungkapan terima kasih sebaliknya sepotong doa mengiringi diri ini. Sayu rasanya.
Tika bulan Ramadan, antara yang wajib dilakukan ialah lawatan ke bazar ramadan. Walaupun tiada apa yang luar biasa, hanya sama seperti tahun sebelumnya dan jika ada pun bertambahan menu dan gerai yang semakin banyak. Tak lupa juga nama unik makanan minuman dan perluasan port peminta sedekah yang dikuasai warga asing. Walaupun dimomokkan perkhabaran di media massa mengenai lambakan pengemis yang dihantar agen untuk mengaut keuntungan, namun ternyata tidak menghalang umat Islam untuk terus bersedekah. Benar, niat itu penting. Belakang kira apa motif utama mereka kerana amalan dinilai oleh Dia bukan mata manusia.
Namun, ada sesuatu seakan buka mataku yang bukan makanan atau minuman. Sepasang suami isteri yang buta gigih mengerah kudrat, mencari rezeki dengan mendengdangkan lagu-lagu sambil bermain keyboard dan alatan musik lain. Petang yang tenang itu, kelibat seorang lelaki berpakaian kerja seperti dari syarikat kilang/kakitangan am kerajaan menghampiri pasangan tersebut. Perlahan tangan si suami yang buta disalami dan diselitkan beberapa keping not merah dan ungu. Selesai sesi tersebut, dia berlalu pergi tanpa menoleh. Orangnya biasa tapi mulia perbuatannya. Nyata kita tidak perlu kaya untuk memberi dan berkongsi. Cukup sekadar memadai kalau itu buat kita dekat pada-Nya.
" Hidup ini terlampau banyak untuk dinikmati dan dihargai. Maka bersyukurlah kerana ada yang
menangis dan meratap nasib mereka. Tak rugi pun untuk titipkan rasa syukur untuk segalanya. "