Lafaz bismillah sebagai pemula bicara. Assalamualaikum sebagai tanda sapa. Entriku dihiaskan dengan anggota tubuh kita yakni pancaindera terpenting bagi insan diikuti tiga noktah sebagai pernyataan yang berpanjangan untuk didalami. Terpulanglah apa mahu ditafsirkan, hanya satu omong kosong mengenai dunia yang makin tua ini.
Satu malam saat jarum jam melangkah ke angka 11, aku bawa langkah kaki ke McD berdekatan yang dibuka 12 jam di siangnya dan 12 jam lagi di malamnya. Laluanku di susur gajah bangunan ditemani cahaya lampu hiasan dan sunyi sepi malam yang tiada bunyi cengkerik. Bandar, mana mungkin cengkerik sudi hidup. Mati segan hidup tak mau pastinya. Sepanjang laluan itu, aku perasan sepasang warga OKU berborak. Kurang pasti dari mana mereka dan mengapa mereka di situ tapi di tangan mereka disertai bekas untuk isi duit dan barangan seperti tisu. Menagih simpati masyarakat untuk sesuap nasi. Tapi aku hairan, selewat ini dengan keadaan fizikal mereka bagaimana mereka akan kembali ke syurga mereka? Mungkin benar sindiket yang bermaharajalela menggunakan kelemahan insan seperti ini untuk mendapatkan wang. Sadisnya melihat hati manusia masa kini. Yang lemah dijadikan batu loncatan oleh yang perkasa. Usai menikmati makanan larut malamku, aku melangkah pulang dan nyata warga OKU tersebut sudah hilang dipandangan. Moga hari esokmu lebih bermakna saudaraku.
Hari-hari yang dilalui seakan sama tanpa perubahan apa yang drastik. Kalau ada sekadar tambah tolak aktiviti itu ini dan itu sahaja. Tiada yang istimewa. Masyarakat sekeliling juga seakan begitu. Bangkit mengejar waktu Subuh, bimbang terlepas yang fardu dan mungkin ada yang terus menerjah kamar kecil untuk bersiap ke destinasi yang sepatutnya. Soal yang fardu entah ke mana. Yang fardu seakan dibiar berlalu tanpa rasa apa apatah lagi yang sekadar mengiringi. Siapa yang peduli akan ini? Mungkin retinaku hanya memerhati tapi ada yang peduli tanpa disedari. Kau mungkin besar di muka bumi tapi di pandangan-Nya? Masihkah kau punya tempat sebesar itu?
Pengemis sana sini seakan semakin membiak bilangannya saban hari. Ramai yang datang tapi tiada yang pergi. Ada pepatah, Tangan yang memberi lebih elok dari yang menerima memang benar tapi bila difikirkan dan dilihat kembali aku rasa cermin balik nawaitu kita. Benarkah ingin memberi atau hanya satu cara untuk melepaskan diri daripada dikejarkan golongan ini? Atau kerana simpati tapi dalam hati berbaldi sumpah seranah. Biarlah tak memberi daripada memberi tapi mulut dan hati tanpa henti berkata-kata. Apa timbangan amalan yang tinggal? Mana lebih berat? Hanya dari pandangan-Nya sahaja dapat diketahui.
Ironinya, mana-mana langkah dibawa senario hidup ini seakan sama. Kalau beza pun hanya secalit dua tak begitu memberi impak. Tonggang terbalik pun masih itu juga isunya. Terpulanglah apa sudut pandangan kita. Mungkin dari sudut 90 atau 180 tapi itu tidak memberi kesan apa pada yang esa. Pandangan manusia luas, begitu juga dengan haiwan. Tapi pandangan-Nya jauh lebih luas. Jadi siapakah kita pada pandangan-Nya?
No comments:
Post a Comment